5 Impian Masa Lampau

by - May 04, 2017

Masa kecil-kecil dulu aku sudah berani tanam cita-cita. Banyak yang aku fikir aku mampu capai. Pemikiran positif memang ada bersama aku setiap masa. Bila dewasa baru aku sedar yang tidak semua impian boleh aku gapai.



Sambil menulis entri ini, rasa lucu pun ada dan tidak semena-mena terimbas kembali zaman kanak-kanak aku. Jom ambil tahu 5 impian masa lampau aku:


  • Saintis

Aku selalu sangat perasan yang pekerjaan saintis amat mengujakan sebab boleh buat pelbagai jenis kajian dan eksperimen. Dengan bekerja sebagai saintis, aku boleh rekacipta barang atau benda yang belum pernah wujud kat dunia ini dan berguna untuk manusia sejagat. Selalu sangat aku berangan seorang diri di beranda rumah tidak kira sebelah siang atau malam. Di sekolah rendah yang aku pergi dahulu ada taman kecil di tepi tingkap bilik darjah. Setiap kali cikgu tiada, aku akan menjenguk ke luar tingkap untuk melihat sekiranya ada manusia kenit atau dunia orang kenit yang aku boleh teroka.

  • Arkitek

Abah dan ma aku pernah belikan aku lego kayu ("stackable wood") disebabkan aku seronok main susun-susun kayu ikut warna dan bina rumah atau bangunan menggunakan lego kayu. Bila-bila masa adik-beradik, jiran atau kenalan abah dan ma bertanya, "Nak jadi arkitek ke adik?" aku akan mengangguk dengan cepat sambil tersenyum riang. Dengan membuat bangunan di sekeliling aku, aku rasa selamat seperti berada di dunia sendiri.

  • Pensyarah

Pada masa itu, kerjaya pensyarah amat disebut-sebut orang Kampung Kelubi. Secara tidak langsung, aku selalu bertanya ma aku "apa dia pensyarah tu ma?". Ma aku akan jawab, "Keje cikgu tapi  gajinya lebih besar". Aku pun mula la berangan seperti biasa, seronoknya kalau aku dapat jadi pensyarah bila aku dewasa nanti. Bila berada di sekolah, aku sudah berani mengajar kawan-kawan yang kurang pandai dalam mata pelajaran tertentu.

  • Ustazah

Cerita ustazah sedikit kelakar sebab ma aku selalu bertanya pada aku sewaktu aku berada di dapur menolongnya memasak, "nak pergi Jordan tak?". Aku sebenarnya tidak pernah berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang keagamaan tetapi aku suka berleter kepada adik-adik jika ada yang melewatkan solat. Aku pun tidak berdisiplin sehinggalah usia aku menginjak 13 tahun iaitu setelah aku dimasukkan ke sekolah agama sains.

  • Usahawan 

Sewaktu aku pada umur darjah 4-6, aku gemar membaca majalah Bintang Kecil. Di belakang majalah itu disertakan dengan kuiz dan pertandingan kecil-kecilan untuk si cilik. Pada suatu hari, aku menyertai pertandingan Usahawan Muda. Tidak aku sangka, aku memenangi pertandingan tersebut dan nama aku terpapar di majalah Bintang Kecil bulan berikutnya. Bermula dari situ, aku mulai menerima beberapa pucuk surat daripada kenalan-kenalan baru yang ingin mengambil aku sebagai adik angkat, kawan karib dan sebagainya. 

Antara 5 impian masa kecil aku, impian nombor 5 iaitu Usahawan merupakan impian yang aku paling sayangi dan simpan rapi dalam hati aku. Walaupun aku tidak berjaya mencapai impian lain, aku berharap impian ke-5 inilah yang akan membuatkan aku berjaya suatu hari nanti. Doakan aku ya.





XOXO... 

You May Also Like

0 comments

Please write your comment and thoughts peacefully.