Penawar Ketika Kepenatan

by - April 26, 2012

Untuk sesiapa sahaja yang merasakan dirinya kepenatan melayan kerenah dunia dan isinya, di sini aku titipkan nasihat pilihan yang amat berguna. Aku petik artikel ni dari Utusan Malaysia, Jumaat, 20 April 2012, Agama - Mega, muka 21:


SUATU hari Sayidatina Fatimah mengaku kepada suaminya Sayidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan mengisar gandum untuk membuat roti. Sayidina Ali berkata: "Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dengannya dan mintalah seorang khadam untuk membantumu."

Sayidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW tidak memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu baginda Rasulullah SAW pergi menemui puterinya dan menantunya itu.

Baginda Rasulullah SAW berkata: "Adakah kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmidlah (Alhamdulillah) 33 kali, dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Nabi SAW ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua. Sayidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah SAW ini. Katanya, "Demi Allah aku tidak pernah meninggalkan semenjak ia diajarkan kepadaku."

Oleh itu dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca Subhanallah (33 kali), Alhamdulillah (33 kali) dan Allahuakbar (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata. 

Lakukan dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan), Insya-Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan hidup kita seharian.


p/s: Lepas try nasihat ni, pagi esok tu aku bangun dengan perasaan seperti ringan langkah dan beban pada hari sebelumnya...

You May Also Like

0 comments

Please write your comment and thoughts peacefully.