"Mak, adik nak beli buku!"

by - September 21, 2010


Aku teringat masa aku keluar jalan-jalan dengan adik kesayangan kat Alamanda Shopping Centre, Putrajaya dua bulan lepas. Walaupun cerita dah usang tapi hingga sekarang aku masih teringat-ingat. Masa menunggu teman beratur membayar tiket parking, aku dan adik berlegar-legar di hadapan kedai buku. Kat Alamanda tu, hanya ada satu kedai buku, tidak lain dan tidak bukan MPH yang juga kedai buku kegemaranku.

Tunggu punya tunggu, ada satu keluarga melintas di hadapan kami…


“Mak, adik nak beli buku!.”

 
Sorang budak perempuan menunjuk ke arah ruangan pameran berkaca kedai MPH. Yang aku perasan masa tu banyak buku cerita Inggeris, salah satunya deretan siri The Twilight Saga.

“Isyy, apa pulak ni. Sikit-sikit buku cerita. Mak tak bagi, kalau buku pelajaran boleh beli!”

 
Ibu budak perempuan itu menegur seperti nada menengking. Aku tergamam.

 
“Kesian budak perempuan tu”, dalam hatiku.


Aku memang kesiankan dia, nasib baik budak perempuan yang sebesar darjah lima tu minat membaca jika nak dibandingkan dengan budak perempuan lain yang lebih suka tengok kartun atau main computer game, atau menghabiskan masa dengan bermain di taman permainan.

Dalam sekilas aku melihat adik bongsuku yang berdiri di tepi dari tadi sambil melilau mencari temanku. Mana tau dah siap bayar parking ke...

Aku teringat memori dulu, sejak adik kecil, aku sudah mengajarnya membaca buku novel tidak kira bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris. Memang pada mulanya dia lebih minat membaca komik seperti Doraemon sehingga semua siri pun ada di rumah kami.

Waktu tu, terdetik dalam hatiku, “Takpe, at least adikku ada minat untuk membaca”

Kemudian aku mula memberikan sedikit demi sedikit novel inggeris dari nipis hingga lah setebal 400 mukasurat. Dia mula berjinak-jinak menggunakan kamus sehingga waktu makan pun dia masih membelek novel. Ada beberapa kali dia dimarahi ibu kerana terlalu rajin.

Namun, dia tidak mengabaikan mata pelajaran di sekolah. Sehingga besar, dia lebih maju dalam bahasa inggeris dan karangan bahasa melayu berbanding aku. Karangannya di sekolah merupakan yang terbaik setiap kali peperiksaan. Aku tidak lekang membaca blognya dan kadang-kadang terpaksa membuka kamus untuk memahami sesetengah perkataan.

Sekarang ni, kami bersyukur adik telah berjaya di dalam SPMnya dan dalam persediaan menuju bidang perubatan di luar negara.

Moralnya, tidak kiralah anak atau adik ingin membaca novel atau komik selagi ia bukan bahan bacaan lucah atau tidak baik, asalkan ia dapat menanam minat membaca kerana bukan senang untuk minat membaca. Sehinggakan orang tua pun belum tentu minat membaca. Umur sudah meningkat pun, tapi pengetahuan belum sampai separuh jalan.

You May Also Like

0 comments

Please write your comment and thoughts peacefully.