Di manakah Cinta Sejatinya pada Kakak?

by - June 28, 2010


Hari ini aku memandang skrin komputer yang sama. Sudah beberapa hari aku tidak menulis entri. Beberapa hari telah berlalu dan cerita yang mungkin telah basi akan ku poskan hari ini. Minggu yang sudah, aku berasa seperti tidak kena. Ada sesuatu yang mungkin telah berlaku di antara kakak dan BIL. Yang mengukuhkan pra-rasa aku, aku ada menelefon ke kampung.

Mak berterus terang denganku berkenaan hal kakak... Katanya, BIL ingin melepaskan kakak dengan bermacam-macam alasan. Kononnya, dia telah menahan sabar semenjak dahulu. Pelbagai lagi cerita menarik yang ku dengar mengenai mereka berdua seingat aku, sejak dari awal perkahwinan pada tahun 1995. Ini menjadikan usia perkahwinan mereka lebih kurang 15 tahun.

Aku teringat pada kakak… Kakak yang aku sayang selama ini... Kakak inilah yang aku sanjung selama aku membesar. Kakak tahu makanan kesukaan aku. Dia tidak pernah lokek membawa balik manisan dan buah tangan dari asrama untuk adik-adik sewaktu usianya belasan tahun dulu. Kakak jugalah inspirasiku yang tidak pernah pudar sehingga sekarang… Sehinggalah masa kakak mengambil keputusan untuk berkahwin, kami tetap bersetuju dan tumpang gembira, walaupun ayah seperti kurang berkenaan dengan pilihan hatinya.

Selama berkahwin, kakak yang paling banyak menabur bakti kepada keluarga dan BIL. Kakak tidak lekang dari menyara BIL walaupun BIL sendiri tidak bekerja. Aku masih tidak melupakan penat lelah kakak selama berkahwin... Haram bagi seorang isteri menceritakan keburukan suami kepada orang lain walaupun keluarga sendiri. Namun, aku tidak bodoh dan buta untuk memahami kesusahan kakak. Walaupun bekerja sebagai seorang guru yang dianggap lumayan, dengan kos kehidupan di KL dan Selangor yang semakin meningkat saban hari, kakak mencari duit tambahan. Kedai kraftangan dan hantaran kahwin dibuka di Rawang. Kerja sampingan ini sedikit sebanyak dapat menolong kakak yang masa itu beranak dua.

Selang beberapa tahun, kakak berpindah ke KL dan kedai terpaksa ditutup. Kakak menambah seorang lagi anak kerana pujukan BIL. Tetapi yang merisaukan aku, jika BIL dan kakak berpisah, ke manakah anak-anaknya mengadu kasih nanti? Betapa aku menyayangi kakak dan keluarganya, aku akan pastikan anak-anaknya berjaya suatu hari nanti... Aku akan jaga kebajikan mereka seperti anak-anakku sendiri jika berita buruk ini benar-benar terjadi.

Aku tidak mengerti kesalahan kakak sehingga BIL sanggup berfikir sedemikian dan mengadu pada ayah. Sedangkan mereka telah bercinta semenjak zaman persekolahan lagi. Sepertinya kisah Laila dan Majnun, Pungguk dan Bulan, mereka memang tidak boleh dipisahkan. Sepanjang berkahwin pun, mereka selalu keluar bersama, dating, honeymoon dan sebagainya. Boleh dikatakan, mereka pasangan romantis. Aku pelik kakak… kenapa setelah sekian lama, BIL sanggup melukakan hati kakak. Tidak fahamkah dia dengan kesetiaan kakak selama ini? Tidak sanggupkah dia memaafkan kesalahan kakak jika dibandingkan dengan pengorbanan kakak membesarkan anak-anaknya? Kenapa BIL sekejam itu?

Aku pun baru berkahwin kakak dan aku tidak mengerti perasaan pasangan yang telah lama mendirikan rumahtangga. Oleh itu, aku malu untuk memberikan nasihat. Kata emak, mungkin BIL ada ‘orang ketiga’. Aku tidak menafikan yang BIL seorang lelaki, dan memang lumrah kejadiannya ingin memiliki ramai perempuan. Tetapi kakak, aku benci lelaki seperti BIL yang tidak berkemampuan menjaga hati keluarga tetapi sanggup untuk memiliki perempuan lain pada masa yang sama. Memikirkan ini, aku jadi takut kerana aku pun perempuan dan telah berkahwin.

Kita hanya berusaha kakak, yang menentukan adalah Allah SWT. Aku hanya berdoa dan berdoa semoga keluarga kakak seharmoni bintang dan bulan… Secerah langit selepas redanya hujan. Ku harapkan awan gelap berarak pergi secepat yang mungkin… Ku harap BIL memikirkan tentang anak-anaknya yang sedang membesar. Boleh ku katakan kakak, BIL tidak sekuat kakak yang cepat berputus asa di tengah jalan. Dia bukanlah superman kakak dan dia memang seorang pengecut yang sanggup menzalimi kaum yang lemah. Aku doakan dengan kuat dan penuh azam, Allah SWT berikanlah pengajaran setimpal dan pengajaran yang benar-benar berguna untuk dia hidup di kalangan orang-orang yang beriman. Amiin…


Pic:
[1] William-Adolphe Bouguereau (1825-1905) - Two Sisters (1901).jpg

You May Also Like

0 comments

Please write your comment and thoughts peacefully.