Memang aku jenis cepat melenting

by - January 29, 2010

Sebenarnya, hari ini aku sedih mendengar pengakuan member satu opis aku. Dia cakap yang bos aku tu ada panggil dia haritu masuk bilik. Bos suruh dia berikan tunjuk ajar kat aku supaya aku ni tidak melenting dan tidak cepat melatah. Sebenarnya memang benar aku ni cepat melatah dan cepat melenting sepertimana yang tunang aku sendiri cakap. Memang tidak dapat dinafikan ini memang salah satu kelemahan yang membuatkan aku rasa tak pernah sempurna sepanjang hidup 27 tahun lebih ni.

Namun, aku tidak dapat menyalahkan sepenuhnya kepada aku sendiri kerana bos aku pun ada silapnya. Selaku bos dan majikan, dia tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya kepada unit aku. Boleh dikatakan tugas aku bukan sahaja sebagai ketua unit tetapi sudah lebih dari itu dan dia pun tahu. Mungkin sebab dia dan kawan aku sama-sama pernah tidak puashati dengan aku, maka sebab itu jugalah selepas aku disahkan jawatan, tiada kenaikan gaji langsung. Oleh sebab dia pun baru beritahu aku pasal ni, aku yakin bahawa kemungkinan besar selepas setahun aku di sini, tiada bonus atau kenaikan gaji untuk aku. Sedihnya kerana aku ada mencurahkan idea dan tenaga untuk kerja aku selama di sini dan aku berbuat baik dengan staf untuk menjaga hati masing-masing. Tetapi kalau begini cara bos aku memberikan maklum balas, mungkin aku tidak akan lama di sini.

Tunang aku pula jenis yang pandang remeh terhadap semua perkara dan jarang sekali menepati janji. Kawan di sebelah aku ini pula jenis suka mengadu domba dan memfitnah sesama muslim. Jika aku pula menyatakan rasa tidak puashati aku pada mereka, adakah mereka akan terima tanpa perlu terasa hati dengan aku? Aku rasa ini tidak mungkin sama sekali kerana mereka juga manusia seperti aku. Mungkin aku jenis yang cepat memaafkan di mata orang. Namun, untuk aku melupakan perkara yang mengguris perasaan tidak mungkin sama sekali walaupun untuk 100 tahun yang akan datang.

Tanyalah aku, aku masih tidak dapat melupakan kata-kata kawanku semenjak aku berusia 6 tahun lebih. Semua kata-kata ini masih terngiang-ngiang di telingaku hingga sekarang. Adakalanya berdiam diri lebih baik dari berkata-kata kerana jika tidak berfikir dahulu mungkin kata-kata itu menjadi lebih tajam dari pedang. Itulah masalahnya dengan orang yang terlalu berterus terang. Ada pula kawan yang jenis memendam rasa dan dicurahkan kepada orang lain tanpa diketahui aku. Inilah mengumpat namanya. Entah berapa lautan nilai umpatan kawan-kawan pada aku, yang aku terdengar, yang aku curiga atau yang tidak aku tahu. Mungkin kerana tiada perkara yang hendak mereka fikirkan, mereka rasa mengumpat itu lebih baik dari berzikir atau mengingati Allah SWT.

Jika mereka tidak boleh melakukan perkara-perkara baik yang sepatutnya mereka lakukan, nampak gayanya, akulah yang kena berfikir sebelum berkawan. Aku ada azam baru untuk lebih memilih kawan berbanding hari ini dan semalam.



You May Also Like

0 comments

Please write your comment and thoughts peacefully.