Puasa dan Ramadhan

by - August 23, 2010





Hukum Semasa Berkaitan Puasa

Allah SWT telah memfardhukan puasa Ramadhan keatas umatnya, Allah SWT juga telah mensyariatkan puasa-puasa sunat yang lain selain daripada fardhu ini, serta menjanjikan ganjaran yang sangat besar, yang menjadi idaman bagi setiap orang yang beriman. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang berpuasa suatu hari pada Jalan Allah, nescaya Allah akan jauhkan mukanya daripada api neraka sejauh 70 tahun.” [Muttafaq alaih]

Allah telah meletakkan garis panduan dalam melakukan puasa dan sekali-kali tidak membenarkan untuk dilanggar. Maka menjadi kewajipan bagi setiap muslim mengetahui dan mempelajarinya untuk menjaga ibadat yang besar ini. Catatan ini bertujuan membincangkan perkara-perkara yang membatalkan puasa menurut kajian ulama semasa.

Menunaikan ibadat puasa dengan sempurna merupakan perkara asas yang perlu diketahui oleh setiap muslim. Menjaga puasa dari perkara yang membatalkannya juga tidak kurang pentingnya. Oleh itu, perbincangan tentang perkara ini adalah perlu untuk menjaga puasa dari terbatal, dan membatalkan puasa dengan perkara yang sebenarnya tidak membatalkannya akan menyempitkan ruang yang telah diperluaskan oleh Allah SWT. Ayat dari Surah Al-Baqarah adalah salah satu ayat yang telah disebut oleh Allah tentang keringanan syariat-Nya:

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”


Rukun Puasa

Rukun puasa ada dua (2), iaitu:
1)     Berniat pada malam harinya. Sabda Nabi SAW:

“Sesiapa yang tidak berazam (berniat) pada waktu malam maka tiada puasa (fardhu) baginya.”

2)     Imsak. Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.

Antara perkara yang diberikan fokus mendalam diwaktu Ramadhan adalah:
1)     Mencapai taqwa.
Firman Allah SWT yang mengarahkan berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah cara, dan cabaran yang boleh menghalang kita dari mencapai target perlu diberikan perhatian lebih.

2)     Bulan ingatan fungsi Al-Quran
Firman Allah SWT yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali pada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat di dunia dan akhirat perlu diperhebat.

3)     Amaran terhadap penghilang pahala Ramadhan yang pasti
Sabda-sabda Nabi SAW berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut, dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekan kerana adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4)     Kaedah penambah pahala & redha Allah SWT di bulan Ramadhan
Yang pastinya, sabda-sabda Nabi SAW yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah SWT di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke syurga Allah SWT sekaligus melemahkan fungsi syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak ke arah maksiat.

Seseorang yang berpuasa hendaklah menjaga diri dari melakukan perkara yang merosakkan puasanya demi menjaga kehormatan ibadat yang mulia ini. Antaranya ialah:
i)              Menahan nafsu syahwat
ii)             Menanggung lapar dan dahaga
iii)            Menahan diri dari bersetubuh dengan isteri pada siang hari
Semuanya dilakukan dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah SWT. Inilah yang diperjelas dari Al-Quran dan As-Sunnah. Demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah SWT yang disebut di dalam ayat Al-Baqarah: 187 dan disokong oleh hadis yang banyak.


Perkara Asas Yang Membatalkan Puasa

Sebagaimana yang disepakati (ittifaq) ulama’ berdasarkan kepada nas Al-Quran, hadis dan ijma’ ialah empat (4) perkara:
1)     Makan
2)     Minum
3)     Jima’. Dalilnya ialah firman Allah SWT yang bermaksud:

“…Maka sekarang campurilah mereka (isteri kamu) dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah SWT untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dan benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam…” [Al-Baqarah: 187]

4)     Haid/ Nifas. Dalilnya hadis Abu Said Al-Khudri yang bermaksud, sabda Rasulullah SAW:

“Bukankah perempuan itu apabila mereka haid, tidak bersolat dan tidak berpuasa…” [Bukhari: 304, Muslim: 79]

Antara perkara yang membatalkan puasa lagi (menurut mazhab asy-Syafie) ialah:
5)     Sampai sesuatu (‘am) ke dalam rongga (al-jauf) melalui liang yang terbuka
Maksud ‘am ialah sesuatu yang dapat dilihat oleh mata.
Maksud al-jauf ialah otak ataupun apa yang berada di antara bawah halkum hingga ke perut.
Maksud liang terbuka ialah; mulut, telinga, qubul dan dubur, samada lelaki atau perempuan
Oleh itu, setitik air yang masuk melalui telinga membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Tetapi setitik air yang masuk ke dalam mata TIDAK membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang tidak terbuka.
Suntikan di lubang dubur membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Suntikan pada urat TIDAK membatalkan puasa kerana urat adalah liang yang tidak terbuka dan begitulah seterusnya.
Semua ini disyaratkan dilakukan dengan sengaja, qiyas kepada makan dan minum.
Sekiranya lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-jauf, maka puasa TIDAK batal. Ini kerana untuk menghindarinya tersangatlah susah (masyaqqah). Begitu juga dengan menelan air liur. Tetapi jika ia menelan air liur yang bernajis seperti gusi luka, walaupun air liur itu jernih dan dia tidak membersihkan mulutnya, maka puasanya batal.
Sekiranya dia berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung dan air itu termasuk ke dalam al-jaufnya, maka ia tidak batal kecuali ia melampau.
Sekiranya terdapat sisa makanan di celah-celah giginya lalu ia digerakkan oleh air liurnya tanpa sengaja lalu masuk ke dalam perutnya, maka puasanya TIDAK batal.
Sekiranya dia dipaksa untuk makan dan minum, puasanya juga TIDAK batal.

6)     Muntah dengan sengaja
Muntah yang disengajakan membatalkan puasa seseorang, sekalipun dia pasti tiada apa-apa daripada muntahan tersebut masuk semula ke dalam perutnya. Akan tetapi, puasa tidak batal sekiranya tiada upaya menahan muntahnya.

7)     Mengeluarkan air man
Air mani keluar sama ada dengan perbuatan berkucup dan seumpamanya atau dengan tangan (onani). Apabila seseorang berbuat demikian dengan sengaja puasanya batal. Jika tidak disengajakan dan tidak dapat menahan maninya keluar, puasanya tidak batal.

8)     Gila dan murtad (wal’iyazubillah)
Kedua-dua perkara tersebut juga menghalang daripada puasa. Ini kerana orang yang berpuasa dalam keadaan itu telah terkeluar daripada kelayakan beribadat. [Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji]

Untuk mengetahui fatwa semasa mengenai perkara ini, di bawah ini dikemukakan Keputusan Persidangan Fiqh Antarabangsa (al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami) [No.93 (1/10) pada 23-28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] Mengenai Perkara-perkara yang Tidak Membatalkan Puasa.

A.     Keputusan (Qarar) Seperti Berikut:
1.     Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga. Ubat titis hidung atau semburan hidung dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
2.     Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (jantung) dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
3.     Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin)
4.     Memasukkan teropong ke salur peranakan/ rahim atau alat ke dalamnya (contoh: alat pencegah kehamilan – IUCD).
5.     Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray atau lainnya.
6.     Menampal, mencabut, mengorek, dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
7.     Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk ke dalam perut dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
8.     Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti glukos yang mengenyangkan).
9.     Oksigen dan ubat bius.
10.   Bius menggunakan gas, bukan menggunakan cecair yang mengenyangkan.
11.   Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.
12.   Sesalur dan bahan perantara untuk artehografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.
13.   Teropong dalam rongga perut (endoskopi) untuk mencari punca penyakit.
14.   Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain untuk ujian makmal.
15.   Teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya.
16.   Memasukkan ubat atau alat ke dalam otak.
17.   Muntah secara tidak sengaja.


B.     Jika tidak memberi mudarat, para doktor muslim hendaklah menasihati pesakit untuk menangguh dulu rawatan yang meragui sehingga selesai puasa.

Tambahan dari keputusan Seminar Fiqh Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morocco dari 8-11 Safar 1418/ 14-17 Jun 1997. Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA:
1.     Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.


Amalan-amalan di Bulan Ramadhan

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (diantara yang hak dan yang batil).” [Al-Baqarah: 185]

Artikel ini sebagai satu tazkirah tentang beberapa kelebihan bulan Ramadhan serta apakah amalan yang sepatutnya diisi sepanjang bulan yang mulia ini.

Semoga ianya menjadi panduan dan pembangkit semangat untuk beramal dengan sebaik-baiknya.

Allah SWT telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang mulia berbanding bulan-bulan lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya ialah:
·         Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah SWT
·         Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka
·         Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadhan
·         Syaitan-syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan
·         Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup
·         Terdapat pada bulan ini Lailatul Qadar yang mana ianya lebih baik daripada 1000 bulan. Sesiapa yang tidak mengambil peluang untuk berbuat kebaikan dan beramal padanya maka dia telah melepaskan semua peluang kebaikan.
·         Orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam yang terakhir pada bulan Ramadhan.
·         Pada setiap malam Ramadhan tersenarai di sisi Allah SWT nama-nama hambaNya yang bebas dari api neraka.

Di antara amalan yang wajib dan amalan sunat yang sangat digalakkan melakukannya pada bulan Ramadhan adalah:
1)     Berpuasa
Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama 10, hingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman (dalam hadis qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk Aku dan Akulah yang akan memberikan ganjarannya. Dia meninggalkan syahwatnya, makanannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa terdapat dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya, dan bau mulur orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah SWT.” [HR: Muslim dari Abu Hurairah]

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ikhtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas.” [HR: Al-Bukhari dan Muslim]

Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan jasmani dan rohani. Dalam konteks rohani, ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu yang liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefakiran, kesusahan dan sebagainya.

2)     Membaca al-Quran
Nabi SAW menceritakan bahawa Jibril membacakannnya al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak 2 kali. [HR: Al-Bukhari dan Muslim]

Para ulama’ bersungguh-sungguh memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 3 malam, sebahagian setiap satu minggu dan sebahagian mereka dalam tempoh 10 hari sekali. Mereka membacanya ketika di dalam solat dan juga di luar solat.

Imam asy-Syafie akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan dan beliau akan membacanya diluar solat.

Ibnu Rajab berkata: “Larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari 3 hari ialah bagi mereka yang menjadikannya sebagai satu amalan biasa yang berterusan. Adapun pada waktu-waktu yang terdapat keutamaan seperti pada bulan Ramadhan, khususnya pada malam-malam yang dijangkakan Lalilatul Qadar ataupun ketika berada di tempat-tempat yang mempunyai kelebihan seperti di Makkah bagi orang-orang luar yang memasukinya maka disunatkan memperbanyakkan membaca al-Quran sebagai mengambil peluang masa dan tempat.”

3)     Qiyamullail
Bagi seorang mukmin apabila berada pada bulan Ramadhan akan berhadapan dengan dua jihad dalam dirinya. Pertama, jihad di siang hari dengan berpuasa dan kedua jihad pada malam hari dengan Qiyamullail. Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya dengan sabar dan sempurna maka ganjarannya amatlah besar.

                Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ikhtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas.” [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Firman Allah SWT:

“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang, mereka itu ialah yang berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah diri dan sekiranya orang-orang jahil menyapa mereka, mereka akan mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang yang menghabiskan malam dengan bersujud dan berdiri semata-mata untuk Tuhan mereka…” [Al-Furqan: 63-64]

Qiyamullail adalah kebiasaan Nabi SAW dan para sahabat yang tidak pernah ditinggalkan oleh mereka. Aisyah r.a. pernah berkata:

“Jangan kamu tinggalkan Qiyamullail. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya dan apabila Baginda sakit atau kepenatan, Baginda bersolat sambil duduk.” [HR: Abu Daud]

Khalifah Umar bin al-Khattab akan bersolat malam seberapa banyak, apabila sampai pertengahan malam, beliau akan mengejutkan ahli keluarganya untuk bersolat, sambil berkata:

“Solah! Solah!” (bangun untuk bersolat!)
Sebagai peringatan, setiap jemaah hendaklah menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya tertulis di kalangan orang-orang yang Qiyam (orang yang berdiri solat).

Abi Zar meriwayatkan Nabi SAW bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu per tiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam.

Para sahabat berkata kepada Baginda:

“Kalaulah tuan terus menyempurnakan saki-baki malam kami dengan solat sunat”.

Maka Nabi SAW bersabda:

“Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga dia (imam) beredar, dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman.” [HR: At-Tarmizi, sahih]

4)     Bersedekah

Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah SAW adalah manusia yang sangat pemurah dan Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan… dan Baginda lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang.” [HR: Al-Bukhari]

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Baginda:

“Takutilah api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar.” [HR: Al-Bukhari]

Imam asy-Syafie berkata: “Aku suka jika seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadhan kerana ia mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW, kerana ketika itu manusia berhajat kepada bantuan untuk keperluan mereka. Ini kerana manusia sibuk dengan puasa dan solat (ibadat) berbanding pekerjaan masing-masing.”

Rasulullah telah ditanya, apakah sedekah yang paling afdhal? Sabdanya:

“Sebaik-baik sedekah adalah sedekah dalam bulan Ramadhan.” [HR: At-Tarmizi dhaif]. Ia mempunyai banyak cara dan cabangnya.

A.     Memberi makan
Para ulama’ salaf sangat menitikberatkan amalan memberi makan dan mendahulukannya daripada ibadat-ibadat lain. Ianya sama ada dengan memberi makan orang yang kelaparan ataupun kawan-kawan yang soleh dan tidak diisyaratkan hanya kepada orang faqir.

Rasulullah SAW bersabda:

“Di dalam syurga terdapat bilik-bilik, nampak dari dalam barang-barang di luarnya dan sebaliknya.” Bangun seorang a’rabi (orang kampung bertanya); “Untuk siapakah bilik-bilik itu wahai Rasulullah? Sabda Nabi SAW: “Bagi mereka yang baik percakapannya, memberi makan, sentiasa berpuasa dan bersolat kerana Allah SWT pada waktu malam tatkala orang lain sedang tidur.” [HR: At-Tarmizi, Hasan]

Al-Hasan al-Basri dan Ibnu al-Mubarak memberi makan para sahabatnya, sedangkan mereka sendiri berpuasa. Mereka duduk melayani dan berkhidmat kepada orang yang makan serta memenuhi keperluan mereka.

Hammad bin Sulaiman akan menghidangkan juadah berbuka puasa untuk 500 orang ketika Ramadhan dan dia akan memberikan kepada setiap mereka 100 dirham di Hari Raya.

Ibadat memberi makan akan menjadi asas kepada banyak ibadat-ibadat lain, seperti rahmat dan kasih sayang terhadap sahabat yang diberi makan, dan ini akan menjadi salah satu sebab untuk masuk syurga, kerana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga seseorang itu sehingga ia beriman, dan tidak beriman sehingga ia saling kasih-mengasihi.” [HR: Al-Bukhari]

B.     Memberi makan (berbuka) orang yang berpuasa
Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun.” [HR: At-Tarmizi, Sahih]

Sabda Rasulullah SAW:

“Wahai manusia! Sebarkanlah salam, berilah orang makan dan solatlah malam ketika manusia tidur, pasti kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.” [HR: Ahmad, at-Tarmizi, Sahih]

Semua ini menunjukkan bahawa mengumpulkan antara puasa dan sedekah adalah lebih berkesan untuk menghapuskan dosa.

Nabi SAW bersabda:

“Puasa adalah perisai. Sedekah akan memadamkan kesalahan seperti air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki yang banguna di pertengahan malam.” [HR: Ahmad, at-Tarmizi dan Ibnu Majah, Sahih].

5)     Menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah SWT tidak berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (yakni berpuasa).” [HR: Al-Bukhari]

Hadis tersebut menunjukkan bahawa berpuasa juga bermaksud menahan diri daripada pembohongan dan kata-kata yang sia-sia dan tidak berfaedah sebagaimana seseorang itu menahan diri daripada makan dan minum. Sekiranya dia tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka berkuranganlah pahalanya dan dia terdedah kepada kemurkaan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:

“Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa maka janganlah dia melakukan Rafath (perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh, sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa.” [HR: Muslim]

Ali bin Abi Thalib berkata: “Sesungguhnya puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga daripada penipuan, kebatilan dan perkara yang sia-sia.”

Berkata Mujahid: “Dua perkara yang sesiapa meninggalkannya maka sempurnalah puasanya iaitu: Ghibah (mengumpat) dan menipu.” Abu al-‘Aliah pula berkata: “Orang yang berpuasa tetap dalam ibadatnya selagi dia tidak melakukan Ghibah.”

Rahsia di sebalik larangan-larangan ini khususnya ketika sedang berpuasa ialah kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT dengan meninggalkan perkara-perkara yang harus, tidak akan sempurna kecuali setelah meninggalkan perkara-perkara yang haram. Ia adalah seumpama orang yang meninggalkan perkara-perkara fardhu untuk melakukan perkara-perkara sunat, apakah faedahnya?

6)     Doa, zikir dan istighfar

Semua hari-hari Ramadhan adalah waktu yang mulia, maka ambillah kesempatan ini dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti:
i.              Ketika hampir waktu berbuka. Nabi menyebutkan tiga doa yang tidak akan ditolak antaranya ialah orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.
ii.             Di sepertiga malam ketika Allah SWT menyeru: “Adakah ada orang yang berdoa maka Aku perkenankan, adakah orang yang memohon keampunan maka Aku mengampunkannya”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim]
iii.            Memohon keampunan Allah SWT ketika waktu sahur. Firman Allah SWT: “Dan ketika waktu sahur mereka memohon keampunan.” [As-Zariyat: 18]

Jangan kita lupa juga terdapat ganjaran-ganjaran yang besar bagi orang berzikir. Terdapat banyak nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang sahih menjelaskannya.

7)     Umrah pada bulan Ramadhan

Sabda Rasulullah SAW:

“Satu umrah pada bulan Ramadhan ganjarannya menyamai satu haji. Dalam riwayat yang lain; “Menyamai satu haji bersamaku.” [HR: Al-Bukhari dan Muslim]

8)     Beriktikaf

Antara kelebihan khusus 10 terakhir Ramadhan ini, adalah digalakkan beriktikaf padanya.

9)     Lailatul Qadar

Di dalam Ramadhan yang berkat ini Allah menghadiahkan kepada hamba-hambanya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadar.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.” [HR: Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi]

Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seorang muslim yang berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia hanya datang sekali dalam setahun. Marilah kita bertekad dan berazam untuk memperuntukkan waktu dan masa kita dengan amal ibadat bagi merebut peluang ganjaran pahala yang dijanjikan Allah SWT dan RasulNya.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada yang lepas, dituliskan nama kita di antara hamba-hambaNya yang mendapat keampunan Tuhan dan selamat dari azab neraka. Amiin.


Lailatul Qadar dan I’tikaf

Bersyukur kepada Allah Taala, kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, sekali lagi pada tahun ini kita dipertemukan dengan Ramadhan. Alangkah bertuah bagi sesiapa yang menyambutnya dengan ibadah dan mengharapkan keampunan dan ganjaran daripadaNya. Dan alangkah ruginya bagi sesiapa yang tidak bertambah iman dan amal di bulan berkat ini.

Kini, 10 terakhir Ramadhan menjelma lagi. Hanya beberapa hari, Allah SWT menyediakan untuk hamba-hambaNya segala kebaikan, ganjaran keampunan, kelebihan yang tidak mampu dihitung oleh kita.

A.     Lailatul Qadar

Di dalam Ramadhan yang mulia ini Allah SWT menghadiahkan kepada hamba-hambaNya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadar. Malam ini dinamakan dengan Lailatul Qadar, diambil daripada kalimah al-Qadar yang bererti kemuliaan atau kedudukan tinggi, kerana malam ini adalah malam yang sangat mulia.

Ataupun diambil daripada kalimah qadar atau taqdir, kerana pada malam ini Allah SWT memutuskan urusanNya dan menetapkan taqdir segala perkara. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu para malaikat dan malaikat Jibril akan turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan pada malam itu dengan penuh kesejahteraan sehinggalah terbit fajar.” [Surah at-Qadar: 1-5]

FirmanNya lagi:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang diberkati (Lailatul Qadar) dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” [Ad-Dukhan; 3-6]

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang bangun (beribadat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan Ikhtisab maka baginya keampunan untuk dosa-dosa yang lepas.” [HR: Al-Bukhari dan Muslim]

Beberapa kelebihan tentang Lailatul Qadar yang dapat diambil dari surah al-Qadar antaranya ialah:
i.              Allah SWT menurunkan al-Quran pada malam tersebut yang mana ia memberi petunjuk kepada manusia dan memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat.
ii.             Ia lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun 3 bulan)
iii.            Para malaikat akan turun ke dunia pada malamnya dengan membawa kebaikan, keberkatan dan rahmat
iv.            Malam ini adalah malam kesejahteraan sehingga terbitnya fajar. Iaitu kesejahteraan daripada neraka dan azab Tuhan bagi hamba yang menghidupkannya dengan amal ibadah.

Rugilah orang yang mensia-siakan umurnya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Tampunglah segera kelalaian yang lalu dengan mencari Lailatul Qadar. Sesungguhnya, ia menyamai umur manusia bahkan lebih dari itu. Apakah tempoh 83 tahun 3 bulan sesuatu yang singkat?

Bilakah Lailatul Qadar?

·         Bulan Ramadhan

Tidak syak bahawa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadhan berdasarkan ayat-ayat al-Quran bahawa al-Quran diturunkan pada Lailatul Qadar, dan diturunkan pada bulan Ramadhan. Maka semestinya ia berlaku pada bulan Ramadhan.

Dalam satu hadis, Abu Zar r.a. bertanya kepada Nabi SAW, maksudnya; “Wahai Rasulullah, khabarkan padaku tentang Lailatul Qadar, adakah ia pada bulan Ramadhan?”. Jawab Baginda SAW:

“Bahkan pada bulan Ramadhan.” [HR: Ahmad dan Nasa’i]

·         10 Terakhir Ramadhan

Lebih dikhususkan pada 10 terakhir Ramadhan berdasarkan banyak hadis, antaranya hadis muttafaq alaih:

“Carilah Lailatul Qadar pada 10 terakhir daripada Ramadhan.” [HR: Al-Bukhari dan Muslim]

Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersungguh-sungguh pada 10 terakhir melebihi kesungguhannya pada masa-masa yang lain. Aisyah r.a. juga meriwayatkan, maksudnya: “Adalah Nabi SAW pada 20 malam terawal mencampurkan antara solat dan tidur. Apabila tiba 10 terakhir, Baginda bersungguh-sungguh dan mengetatkan kainnya.” [HR: Ahmad]

Menghidupkan malam bukan hanya dengan solat, malahan dengan pelbagai jenis ibadah seperti zikir, membaca al-Quran, beristighfar, berdoa dan lain-lain. Oleh itu apa yang dimaksudkan oleh Aisyah r.a.: “Aku tidak mengetahui Rasulullah pernah mendirikan malam sehingga pagi.”, maksudnya Rasulullah SAW tidak pernah solat sahaja sepanjang malam. Rasulullah SAW juga megambil peluang 10 terakhir Ramadhan ini dengan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah. Baginda mahu supaya mereka juga tidak ketinggalan di dalam mendapat kebaikan yang disediakan Allah SWT.

·         7 Malam Terakhir

Bagi mereka yang tidak mampu menghidupkan pada permulaan 10 terakhir, maka boleh memulakan pada 7 malam terakhir.

Sabda Rasulullah SAW:

“Carilah pada 10 terakhir. Jika salah seorang di kalangan kamu lemah atau tidak berupaya, maka janganlah dia tertewas pada tujuh yang berbaki lagi.” [HR: Muslim]


·         Malam-malam Ganjil (21, 23, 25, 27, 29)

Malam-malam ini lebih diharapkan adanya Lailatul Qadar kerana warid bahawa Nabi SAW menyebut malam-malam tersebut.

·         Malam 27 Ramadhan

Boleh jadi malam yang sangat diharapkan ialah pada malam 27, ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ubai bin Ka’ab r.a. Beliau berkata, yang bermaksud: “Demi Allah sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia, itulah malam yang mana Rasulullah SAW telah menyuruh kami untuk bangun beribadah, iaitu malam yang ke-27”, dan Ubai berkata lagi: “Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami bahawasanya matahari yang akan terbit pada pagi harinya tiada sinarnya.”

Namun ramai ulama’ berpendapat malam Lailatul Qadar berpindah di antara malam-malam witir, tetapi yang ghalib kebanyakannya pada malam 27, dan bukanlah suatu yag tepat sekiranya kita menganggap pada malam tersebutlah sahaja akan berlaku Lailatul Qadar. Wallahua’lam.

Bacaan Malam Lailatul Qadar

Aisyah r.a. berkata: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar apakah yang harus aku ucapkan?”. Rasulullah SAW bersabda:

“(Ucapkanlah) Wahai Tuhanku, sesunguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pemurah dan suka mengampunkan maka ampunkanlah aku.” [HR: Ahmad, at-Tarmizi, Sahih]

Hikmah disembunyikan Lailatul Qadar

Hikmahnya banyak sama ada diketahui oleh kita atau tidak. Antara yang jelas ialah:

·         Sebagai rahmat kepada hamba-hambaNya supaya mereka memperbanyakkan amalan untuk mencari Lailatul Qadar. Jika hanya tertentu pada suatu malam, mereka hanya akan bersungguh-sungguh pada satu malam itu sahaja.
·         Ujian terhadap hambanya-hambaNya supaya nyata siapakah yang benar-benar ingin mendapatkannya, dan nyata siapakah yang hanya berolok-olok, bermain-main dan bersikap sambil lewa.

B.     Beri’tikaf

Antara kelebihan khusus 10 terakhir Ramadhan ini, ialah digalakkan beri’tikaf padanya.

Apakah erti i’tikaf?
               
I’tikaf dari segi bahasa ialah: Menahan, menetap, dan melazimi sesuatu. Dari segi istilah: Melazimi masjid oleh individu tertentu dengan niat. Sesetengah ulama’ menambah, “…untuk melakukan ketaatan.”

Tujuan ditambah ayat ini untuk memberikan isyarat bahawa hendaklah memulakan ibadah ini dengan niat ikhlas kerana Allah SWT. Bukan datang ke masjid kerana ingin berbual-bual dengan rakan. Bukan juga kerana semata-mata ingin mengasingkan diri dari orang lain. Tetapi mestilah datang untuk membuat ketaatan kepada Allah SWT.

Hukum beri’tikaf

Beberapa ulama’ ijma’ menaqalkan bahawa hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Ia hanya jadi wajib sekiranya dinazarkan. Kata Ibnu Shihab: “Alangkah peliknya orang-orang muslimin yang meninggalkan I’tikaf, sedangkan Nabi SAW tidak pernah sekalipun meninggalkannya semenjak Baginda masuk ke Madinah.” Walaupun I’tikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, tetapi terdapat galakan khusus untuk beri’tikaf pada 10 terakhir Ramadhan. Aisyah r.a. berkata: “Nabi SAW beri’tikaf pada 10 terakhir Ramadhan sehingga Allah SWT mewafatkan Baginda. Kemudian, isteri-isterinya terus beri’tikaf selepasnya.” [HR: Al-Bukhari]

Amalan ketika beri’tikaf

I’tikaf adalah diantara ibadat yang terkumpul di dalamnya banyak amalan-amalan soleh dan ketaatan sepertinya membaca al-Quran, solat, zikir, doa dan sebagainya. Satu perkara yang sepatutnya diketahui oleh orang-orang yang beri’tikaf adalah hukum, syarat, peraturan dan adab beri’tikaf. Secara ringkas, orang yang beri’tikaf tidak dibenarkan keluar dari masjid sehingga selesai pada waktu yang sepatutnya. Keringanan untuk keluar hanyalah untuk memenuhi hajat-hajat yang lazim untuk keperluan diri seperti mencari makanan dan ke tandas. Sepatutnya mereka juga meninggalkan apa jua urusan yang tidak berkaitan dengan ibadat seperti urusan keduniaan dan cakap-cakap kosong. Sesetengah ulama’ mengatakan digalakkkan juga dalam tempoh I’tikaf ini menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid tempat I’tikafnya. Ini kerana menuntut ilmu adalah salah satu ibadah kepada Allah SWT sebagaimana sesetengah ulama’ salaf mengatakan: “Tiada ibadah kepada Allah yang lebih baik daripada menuntut ilmu.”

Hikmah digalakkan beri’tikaf pada 10 malam terakhir:
·         Supaya seseorang muslim lebih terjaga dirinya daripada terlalai dan melakukan larangan Allah. Apabila berada di dalam masjid, peluang untuk membuat maksiat adalah terhad.
·         Supaya mudah dan dekat dengan ibadah-ibadah dan ketaatan.
·         Mengharapkan supaya bertemu dengan Lailatul Qadar, kerana ia hanya berlaku pada 10 malam terakhir Ramadhan sahaja.

Sabda Rasulullah SAW sewaktu menaiki mimbar di Madinah:

“Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.” [HR: Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi]

Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seorang muslim yang berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia bukanlah satu masa yang panjang. Hanya beberapa malam yang boleh dihitung dengan jari. Boleh jadi, pada malam-malam ini seseorang muslim mendapat pemberian daripada Tuhannya, lalu dia termasuk di kalangan orang yang berbahagia di dunia dan akhirat.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah supaya kita semua dapat mengambil peluang keemasan ini. Ia adalah peluang untuk menggandakan amalan dan peluang untuk mendapatkan keampunan Allah SWT. Mudah-mudahan kita dipertemukan dengan Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari 1000 bulan dalam keadaan melakukan amal soleh dengan sepenuhnya.







Subhanallah.


Source of content: Ust. Lokmanulhakim bin Hussain (2005). Sepuluh Terakhir Ramadhan: Satu Pesanan. PPM Madinah.




Related items from as low as $0.99

Marhaban Ya RamadhanRamadhan and Eid-ul-FitrAl-Hira Digital Quran w/Tafseer & Hadith, 7 in 1Salam Ramadhan Feat Gita GutawaMy Ramadhan Fun Pack Activity BookHarapan Ramadhan

You May Also Like

0 comments

Please write your comment and thoughts peacefully.