Ujian Darah | HIV untuk Bakal Pengantin (2)

by - April 07, 2010

Hari ini aku menelefon Klinik Kesihatan Keramat untuk membuat temujanji ujian darah. Namun, mereka memberitahu yang senarai temujanji telah penuh sehingga tarikh 21hb April ini. Kemudian aku menelefon pula Klinik Kesihatan Ampang yang kebetulan terletak tidak jauh dari Keramat. Kami diberitahu bahawa pemeriksaan darah adalah percuma, Isnin hingga Khamis, dari pukul 2 hingga 4 petang sahaja dan aku tidak perlu membuat temujanji. Klinik tersebut terletak di pekan Ampang, berdekatan dengan sekolah rendah cina dan Restoran An Pong.

Seeloknya, elakkan memandu kereta ke pekan Ampang selepas waktu persekolahan tamat iaitu dari 12 tengahari hingga 2 petang. Oleh kerana pekan tersebut kecil dan jalan yang sempit, kereta-kereta yang melalui pekan tersebut akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk. Aku dan tunang berada di simpang sekolah selama 1 jam lebih. Untuk membuat ujian darah di klinik kesihatan kerajaan, aku perlu beratur 20 ke 30 minit lebih awal kerana bilangan yang ingin mendapatkan rawatan terlalu ramai.

Nasib baik aku dan tunang cepat mendapatkan nombor giliran dan kami berjaya membuat ujian tersebut selepas giliran pengunjung yang pertama. Ujian darah/ HIV tersebut mengambil masa hanya 15 minit. Pegawai kesihatan yang melayan kami amat peramah. Dia sempat menerangkan prosedur terbaru sekarang. Katanya, ujian darah/HIV sekarang dengan dulu amat berbeza.

Jika dulu, bakal pengantin akan diberikan beberapa dokumen dan fail. Keputusan ujian juga akan ditulis pada fail tersebut. Namun, sekarang, hanya sekeping dokumen yang diperlukan, lengkap dengan tandatangan pegawai bertugas dan cop klinik kesihatan. Dokumen inilah yang perlu diberikan kepada pejabat agama untuk pendaftaran nanti. Keputusan ujian yang aku perolehi katanya lagi, hanya perlu diketahui oleh bakal suamiku sahaja. Pejabat agama hanya memerlukan dokumen pengesahan ujian darah tetapi tidak perlu mengetahui keputusan ujian. Ini untuk memastikan maklumat sensitif dan peribadi tidak diketahui umum kecuali pasangan yang ingin berkahwin.

Panjang lebar juga pegawai tersebut menceritakan semuanya tetapi yang pastinya, aku dan tunangku memang 'negatif' dari HIV. Alhamdulillah ;)



You May Also Like

0 comments

Please write your comment and thoughts peacefully.